Puan Nor Asiah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Anom telah memulakan perniagaan gerai makan beliau dari tahun 2017. Beliau menjual pelbagai jenis makanan antaranya mee kari, mee sup, laksa, mee rojak, chicken chop, pisang goreng, tauhu sumbat dan pelbagai lagi menu yang menarik. Beliau hanya dibantu oleh suami dan kadang kala anak-anak beliau akan membantu pada hujung minggu. Gerai beliau terletak di Dataran Kg. Jambu Rias dan sangat mudah untuk dicari. 

Pada tahun lalu, gerai beliau hanya beratapkan canvas tapi bagi pembukaan untuk tahun ini gerai beliau telah berubah wajah dengan dibina khas oleh suami beliau sendiri yang mempunyai bengkel kimpalan besi. Gerai beliau lebih kemas dan selesa untuk beliau berniaga. Beliau akan mula berniaga sekitar jam 2.00 petang hingga malam apabila habis barang jualan. Para pelanggannya daripada pelbagai golongan dari kanak-kanak hingga golongan warga emas.

Pn. Azizah Binti Baba atau lebih mesra dikenali sebagai Mokcu merupakan usahawan yang membuka gerai makan. Terletak kira-kira 5km daripada Pusat Internet 1 Malaysia, dihadapan Pertubuhan Peladang Kawasan Bentong. Gerai ini mudah dicari kerana terletak ditepi jalan lama Langhang-Karak. Menu utama dan popular di gerai Mokcu ini adalah cendol pulut tapainya. Selain itu juga terdapat pelbagai menu cendol, ABC, minuman-minuman lain. Malah Mokcu juga ada menjual makanan seperti nasi berlauk, Yong Tau Fu goreng, Laksa, Spaghetti Bolognese dan lain-lain lagi. 

Pelanggan-pelanggan yang ke gerai Mokcu rata-ratanya adalah pelajar daripada GiatMara, Kolej Komuniti Bentong dan juga pelajar Sekolah Menengah Karak Setia kerana lokasi mereka berhampiran dengan gerai Mokcu. Dengan adanya kelas usahawan,melalui pengiklanan di media sosial seperti Facebook, Mokcu dapat mempromosikan dan mewar-warkan tentang gerainya kepada penduduk setempat dan kawasan sekitar. Malah terdapat juga geng-geng motor berkuasa besar yang singgah ke gerai Mokcu kerana mereka melalui jalan lama Lanchang-Karak. Secara tidak langsung gerai Mokcu menjadi tarikan kepada mereka keranan lokasi yang strategik. 

Ahmad Izam Bin Talib merupakan belia kampung yang aktif berniaga di Dataran Kg. Jambu Rias. Memulakan perniagaan char kuew teow beliau pada tahun 2016, kini perniagaannya sudah genap setahun. Pada mulanya gerai beliau hanya menyediakan menu char kuew teow, buger dan minuman sahaja, kini setelah setahun pembukaan gerai beliau menambah beberapa menu dan menambah baik menu utamanya iaitu char kuew teow. 

Beliau juga telah menambah meja dan kerusi dengan membuat sendiri menggunakan kayu palet bagi menampung jumlah pelangan yang datang ke gerai beliau. Berkat usaha gigih beliau mengiklankan perniagaannya di media sosial, kini gerai beliau semakin dikenali bukan sahaja daripada penduduk setempat malah seluruh kawasan pekan Karak. 

 

Cik Syazrul Fazrein Bin Norazman Shah atau pangilan mesranya along telah memulakan perniagaannya sejak 15.01.2014. Beliau mempunyai stok bekalan minyak wangi untuk dijual secara atas talian mahupon secara terus kepada penduduk setempat. Sebelum terlibat dengan latihan komputer di Pusat Internet 1 Malaysia Kg. Jambu Rias, pendapatan bulanan beliau hanya sekitar RM500.00 sahaja Rata-rata pelanggan beliau hanyalah  sekitar kampung yang terdiri daripada raka-rakan dan saudara mara sahaja selain dariipada kenalan saudara mara beliau.

Melalui kelas keusahawan dan kelas ICT yang dianjurkan oleh Pusat Internet 1Malayia Kg. Jambu Rias, beliau kini sudah mempunyai inisiatif untuk mempromosikan perniagaan secara atas talian.. Beliau mula memperkenalkan dan mempromosi ‘minyak wangi yang dijual  di laman sesawang facebook dan juga melalui aplikasi Whatsapp. Malahan kini beliau berjaya memasarkan produk di web-web barangan jualan atas talian.

 

Puan Rohaniza membuka perniagaan kraftangan secara kecil – kecilan dengan menghasilkan produk dengan mengait seperti sarung bekas tisu,sarung botol air ,bunga dan pelbagai lagi kepada pelangan . Beliau tidak menyangka bermula dengan minat dan hobi, kini telah menjadi sumber pendapatan tambahan beliau. Pendapatan beliau sebelum ini hanya sekitar RM300.00 setahun kerana hanya mendapat tempahan penduduk kampung sahaja. Beliau juga kurang mahir menggunakan komputer.

Setelah mengikuti beberapa kelas ICT dan keusahawanan yang di sediakan oleh Pusat Internet 1Malaysia Kampung Jambu Rias, beliau semakin mahir menggunakan komputer dan mula mempromosikan perniagaan beliau melalui atas talian iaitu media sosial sekaligus memudahkan urusan perniagaan beliau dan dapat menarik lebih ramai pelangan.