Dua tahun yang lalu pisang cheese pernah menjadi viral di Malaysia. Ramai yang mula berniaga pisang cheese setelah ia menjadi popular diseluruh Malaysia. Tidak ketinggalan juga usahawan muda dari Kg. Lengkong ini yang mulakan perniagaan pisang cheese beliau dibawah penjenamaan sendiri iaitu Pisang Stesen. Pada mulanya beliau bersama adiknya berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual disekitar kampung sahaja dan mengambil tempahan yang terhad bergantung pada bekalan pisang mereka.

Kini walaupun pisang cheese semakin dilupakan dan banyak produk makanan lain pula yang menjadi viral, mereka tetap dengan menu pisang cheese mereka, malahan mereka menambah baik menu mereka dengan menampilkan pelbagai perisa pisang cheese yang boleh pelanggan pilih. Malah daripada situ mereka mula mengambil tempahan pisang cheese mereka ke kawasan Karak, Bentong dan juga Raub. Sambutan sangat mengalakkan kerana mereka menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan. 

Tahun demi tahun, kini Pisang Stesen sudah berniaga di gerai mereka di Medan Selera Karak. Perniagaan mereka semakin maju dengan penampilan makanan baru iaitu Nasi Kak Wok, sambal garing (ikan bilis), pengat pisang dan menu paling mendapat sambutan adalah meatball. Walaupun perniagaan mereka semakin maju, mereka masih menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah pelanggan pada sebelah petang. 

Semoga usahawan muda seperti ini dapat dicontohi oleh golongan muda di luar sana. 

Belia merupakan teras penting yang menggambarkan kewujudan negara pada masa akan datang. Oleh yang demikian, negara bertanggungjawab dalam melahirkan belia-belia negara yang mampu membangunkan negara kelak.

Begitu juga peranan ibu bapa dan masyarakat setempat dalam membentuk belia negara kita dari awal. Malahan, Pusat Internet 1 Malaysia Kg. Jambu Rias juga bertanggungjawab membantu golongan belia setempat dalam pengetahuan ilmu ICT dan keusahawanan. 

Seperti contoh belia daripada Kg. Jambu Rias iaitu Mohd Azril Bin Talib merupakan usahawan muda yang mengusahakan kedai gunting rambut. Jika sebelum ini beliau hanya bekerja di Genting Highland, kini dengan duit simpanan yang ada, beliau menyewa sebuah kedai bagi membuka perniagaan kedai gunting rambutnya yang pertama di kampung beliau.

Walaupun usia baru mencecah 26 tahun tetapi beliau berjaya mempunyai perniagaan sendiri hasil titik peluh dan juga didorong oleh minat beliau. Tidak hairan apabila kedai beliau mula dikenali ramai setelah mempromosikan perniagaan beliau di media sosial, hasil daripada tunjuk ajar dan kelas yang telah diikuti daripada Pusat Internet 1 Malaysia Kg. Jambu Rias.

Diharapkan lebih ramai lagi golongan belia kampung yang akan mengikut jejak langkah beliau pada masa akan datang.

 

Belia Kg. Jambu Rias sangat aktif bermain bola sepak. Jika sebelum ini belia-belia kampung bermain bola di padang rumput yang dipenuhi dengan pokok duri dan berbecak jika selepas hujan, kini mereka boleh bermain dengan selesa dan selamat di gelanggang futsal yang baharu yang telah disediakan. Malah mereka juga boleh bermain bola di gelanggang futsal pada waktu malam. 

Pelbagai masalah sosial sekarang ini sering dikaitkan dengan remaja dan belia. Kg Jambu Rias juga pernah mengalami dan berhadapan dengan masalah-masalah sosial yang melibatkan golongan belia terutamanya. Tetapi pada hari ini, masalah-masalah seperti itu sudah menjadi sejarah buat warga kampung apabila anak-anak muda sekarang lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

 

Sebagai contoh, ada dalam kalangan belia sedang dan telah pun menceburi bidang perniagaan dan penternakan yang lebih memberi keuntungan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Apa yang boleh dilihat di Kg Jambu Rias sekarang ialah adanya aktiviti penternakan, industri batik, dan sebagainya. Selain itu, ada juga antara belia-belia kampung mengambil upah menoreh getah, perkhidmatan semasa majlis perkahwinan dan kerja-kerja pertukangan seperti membuat rumah.

 

Dengan pembabitan positif daripada mereka ini, maka apa yang boleh dilihat secara kasar, masalah-masalah sosial dapat dibendung. Gejala seperti merempit juga sudah tidak ada dan masyarakat kampung dapat menarik nafas lega dengan keadaan ini serta hidup dalam masyarakat yang lebih harmoni.

Selain itu, mereka juga sering menghabiskan masa pada waktu petang dengan aktiviti berbentuk riadah. Dengan kemudahan yang disediakan seperti padang awam, mereka lebih kepada aktiviti itu pada sebelah petang yang mana sekaligus dapat mengelakkan dari melakukan aktiviti yang tidak bermoral serta dapat merapatkan silaturrahim sesama masyarakat kampung. 

Antara Aktiviti riadah yang sering dilakukan oleh belia di Kg Jambu Rias:-

  • Bermain bola sepak
  • Mengadakan perlawanan persahabatan
  • Berjogging di padang berhampiran
  • Memancing