Pada bulan yang lalu telah berlangsungnya perlawanan persahabatan bola jaring di padang Kolej Komuniti Bentong. Beberapa belia daripada Felda Lakum, Kg. Mempateh, Lanchang dan  penolong pengurus Pusat Internet Kg. Jambu Rias bergabung menjadi satu pasukan berentap dengan pelajar-pelajar daripada Kolej Komuniti Bentong. Perlawanan tersebut diadakan sebagai latihan sebelum perlawanan sebenar pada Hari Sukan Negara yang diadakan di Temerloh. Perlawanan tersebut bermula dari jam 5.00 petang sehingga 7.00 petang. Malahan terdapat juga doktor daripada Klinik Kesihatan Karak yang juga turun padang untuk merasai pengalaman bermain bola jaring.

Pada 5 Mei 2018 yang lalu telah berlangsung Karnival Sukan Belia Negaraku melibatkan belia-belia lelaki mahupun wanita daripada Kg. Jambu Rias, Paya Pelantar dan juga Kg. Lengkong. Aktiviti tersebut bermula di Dataran Kg. Jambu Rias dengan aktiviti pemanas badan dan juga taklimat tentang jalan yang perlu mereka lalui bagi acara larian beramai-ramai. Terdapat juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Bentong bersiap sedia bagi keselamatan para peserta sepanjang larian mereka yang tamat di Kg. Lengkong.

Ahmad Izam Bin Talib merupakan belia kampung yang aktif berniaga di Dataran Kg. Jambu Rias. Memulakan perniagaan char kuew teow beliau pada tahun 2016, kini perniagaannya sudah genap setahun. Pada mulanya gerai beliau hanya menyediakan menu char kuew teow, buger dan minuman sahaja, kini setelah setahun pembukaan gerai beliau menambah beberapa menu dan menambah baik menu utamanya iaitu char kuew teow. 

Beliau juga telah menambah meja dan kerusi dengan membuat sendiri menggunakan kayu palet bagi menampung jumlah pelangan yang datang ke gerai beliau. Berkat usaha gigih beliau mengiklankan perniagaannya di media sosial, kini gerai beliau semakin dikenali bukan sahaja daripada penduduk setempat malah seluruh kawasan pekan Karak. 

 

Muhammad Rahman Bin Sanusi merupakan belia kelahiran Kg. Jambu Rias. Beliau ank kedua daripada 3 beradik. Pada asalnya beliau hanya membantu ibu beliau dalam perniagaan katering namun setelah melihat kejayaan ibunya dalam dunia perniagaan ia mencetus minat beliau bagi mendirikan perniagaan sendiri. Beliau merupakan peniaga kecil-kecilan dalam menjual pelbagai produk yang dibeli dari pengusaha lain. Antara produk yang dijual adalah karipap mini, kerepek-kerepek, biskut, tauhu dan juga sambal hitam buatan ibunya.

Selain daripada itu, beliau juga membantu usahawan-usahawan kecil di sekitar kampung. Beliau membantu mencari pemborong bagi membeli produk orang kamoung dan juga membantu melakukan promosi serta iklan di media sosial. Tambahan pula tindakan beliau tersebut telah membantu meningkatkan perniagaan orang kampung. Semoga akan ada orang-orang muda seperti beliau yang sudi membantu nasib orang kampung dan pandai mencari peluang walaupun di usia muda.