Kawasan Kg. Jambu Rias

Kampung Jambu Rias ialah kampung tradisional yang terletak dalam Mukim Sabai, Daerah Bentong dan bersempadan dengan Daerah Temerloh. Telah wujud beratus tahun dahulu. Mula diterokai pada tahun 40-an oleh orang Melayu tempatan dan daripada situlah kampung ini mula berkembang dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan.   

Dari segi sejarah Kampung Jambu Rias mendapat namanya oleh kerana sepanjang jalan masuk ke perkampungan ini pada ketika dahulu terdapat banyak pokok jambu yang tumbuh melata. Setelah itu, kampung ini diberi nama sempena jambu tersebut yang rupa dan bentuknya seakan-akan kelopak bunga untuk perhiasan. Maka wujudlah Kampung Jambu Rias sejak itu sehingga kini. 

Maklumat tambahan, jarak dari kampung ini ke Pekan Karak 12km dan ke Bandar Bentong 28 km. Jalanraya merupakan sistem perhubungan utama yang menghubungi Bandar Bentong dan Temerloh. Terdapat juga Lebuhraya Pantai Timur yang menghubungi Kuala Lumpur ke Kuantan melintasi kawasan kampung. Sistem pengangkutan utama ialah kereta, bas dan teksi. Kepadatan penduduk melebihi 470 orang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Kegiatan ekonomi penduduk antaranya adalah penanaman dan pengeluaran hasil getah dan kelapa sawit dan industri hiliran yang berkaitan, pemprosesan hasil hutan, kilang papan serta kilang perabot. Malahan terdapat juga pencetakan batik dan perniagaan peruncitan, kedai makan, bengkel kereta dan kimpalan serta penternakan lembu dan kambing.

 


(sumber dipetik daripada laman web Komuniti Desa)