Wanita

 

Kegiatan wanita-wanita di Kampung Jambu Rias lebih tertumpu kepada perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Perusahaan tersebut ialah memproses daun getah kering untuk kraftangan serta membuat kek, roti, kuih dan kerepek untuk dijual di restoran, gerai dan warung sekitar pekan Karak dan kampung sekitar. Kegiatan mereka ini adalah usaha segelintir wanita di bawah sebuah persatuan yang ditubuhkan untuk menambahkan pendapatan kaum wanita dan suri rumah-suri rumah dengan kerjasama RISDA iaitu Persatuan Wanita Pekebun Kecil RISDA (PWPK). Persatuan ini bergerak aktif mengikut jadual dan aktiviti yang telah dirancang oleh pengerusi dan ahli-ahli yang terlibat.

Antara aktiviti terbaru yang dijalankan oleh kaum hawa di Kg Jambu Rias ini ialah Projek Tanaman Semula Pokok Getah yang mana menghasilkan pucuk-pucuk daun getah yang akan dijadikan bunga dan hasil kraftangan yang lain. Projek ini juga dijalankan di bawah pemantauan pihak RISDA dan dijadikan sebagai aktiviti untuk PWPK Kg Jambu Rias. Di bawah adalah sebahagian gambar-gambar aktiviti mereka semasa proses memetik daun getah yang sudah matang untuk digubah menjadi bunga.