Sewaktu sesi MQT di Parlimen pada Selasa, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah memberi maklum balas kepada pertanyaan berkenaan SOP pengendalian kes buli di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM sentiasa proaktif dalam menangani isu buli yang melibatkan murid di sekolah.
Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM beserta Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah KPM perlu dijadikan rujukan kepada semua pihak berkepentingan di institusi pendidikan dalam menjelaskan kefahaman tentang salah laku buli dan implikasinya serta peranan masing-masing dalam pengurusan salah laku buli terutamanya terhadap pembuli dan mangsa buli.
Setiap kes buli yang dilaporkan dikendalikan secara teliti berdasar kepada SOP yang telah ditetapkan.
Aduan kes buli boleh dibuat menerusi pelbagai kaedah termasuk Portal Aduan Buli melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, emel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp.
KPM juga menjalin kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Permuafakatan KPM-PDRM untuk menangani isu salah laku murid termasuk buli di sekolah. Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam kalangan anggota PDRM turut dilantik di setiap sekolah untuk membantu mengatasi isu salah laku murid.
KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi kesedaran murid bagi mencegah gejala buli di sekolah.
 
 
sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia