Sejumlah 70,682 kes Denggi yang telah dilaporkan dari Januari hingga 1 Disember 2018 manakala jumlah kumulatif kematian Denggi adalah sebanyak 122 kematian.
Mari kita bersama-sama menjaga dan membersihkan persekitaran kita bagi membenteras nyamuk Aedes kerana dengan cara ini kita dapat mencegah jangkitan demam Denggi.

sumber : https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/

 

RISIKO PEMBELIAN UBAT MELALUI INTERNET

Teknologi sektor kesihatan sedang menjalani satu perubahan yang didominasi oleh Internet dalam kehidupan seharian. Hasil perkembangan teknologi ini dapat dilihat melalui perkembangan aktiviti-aktiviti dan iklan-iklan yang berkaitan kesihatan.

Kebolehan orang ramai dalam melayari Internet seperti blog atau media sosial dalam pelbagai medium menggalakkan golongan tertentu mengambil peluang mempengaruhi orang ramai dalam membuat pilihan berkaitan dengan produk kesihatan.

Pengguna dinasihati agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan perubatan dan produk di Internet kerana membeli produk farmaseutikal melalui perkhidmatan Internet boleh mengundang bahaya kepada kesihatan pengguna.

Produk yang dijual melalui Internet adalah diragui kerana sebab-sebab berikut:

1. Keselamatan , kualiti dan keberkesanannya kepada pengguna tidak dapat dipastikan.

2. Khidmat nasihat yang lengkap mengenai penggunaan ubat-ubatan tidak diperolehi.

3. Terdapat risiko pembelian produk palsu yang boleh menyebabkan kematian.

4. Boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak dijangka seperti alahan yang teruk, sesak nafas secara tiba-tiba atau sesuatu keadaan yang memburukkan lagi penyakit yang dihidapi.

5. Tiada kesan penyembuhan kerana mengandungi bahan aktif yang salah atau langsung tidak mengandungi bahan aktif (produk palsu)

Sebab itu, semua produk farmaseutikal di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dipasarkan kepada pengguna. Pendaftaran produk ubat bertujuan memastikan isu kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu produk ubat itu terjamin.

Untuk makluman semua pihak, produk berdaftar mempunyai dua ciri utama, iaitu nombor pendaftaran (contoh MAL20085264A) dan label hologram Meditag.

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran semua produk farmaseutikal di pautan berikut:
http://npra.moh.gov.my/q3plus/index.php/products-search

Carian produk berdaftar boleh dibuat dengan menggunakan :

~ Nama produk
~ Nombor pendaftaran
~ Nama pemegang pendaftaran
~ Nama bahan-bahan aktif
~ Nama pengilang

Sekiranya produk tersebut adalah produk yang berdaftar, status pendaftaran akan dipaparkan. Selepas memeriksa nombor pendaftaran, pengguna dinasihatkan untuk menyemak kesahihan label hologram melalui ahli farmasi di hospital, klinik atau premis farmasi berdekatan.

Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati apabila membeli produk farmaseutikal melalui perkhidmatan Internet, pos atau kurier kerana pembelian produk farmaseutikal melalui Internet adalah tidak selamat sama sekali.

sumber : https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/a.390879946236/10155575943361237/?type=3&theater

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan berhubung Skim Perlindungan Kesihatan B40 yang bakal dilancarkan sepertimana yang tular di media sosial.

Menurut Siaran Media KKM:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum kenyataan berhubung Skim Perlindungan Kesihatan B40 yang tular di media sosial dan ingin menjelaskan kedudukan sebenar berkenaan skim tersebut.

KKM ingin menegaskan bahawa kenyataan yang mengatakan bahawa 5 peratus daripada pendapatan bulanan akan ditolak bagi membiayai Skim Perlindugan Kesihatan B40 adalah tidak benar dan spekulasi terhadap pemansuhan bayaran RM1 dan RM5 fasiliti kesihatan kerajaan juga tidak benar.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad pada satu sidang akhbar telah mengumumkan bahawa KKM mensasarkan untuk melancarkan Skim Perlindugan Kesihatan B40 pada awal tahun 2019.

KKM ingin menjelaskan bahawa pada masa ini sedang dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara Malaysia untuk menentukan mekanisma dan pakej pembiayaan kesihatan yang terbaik tanpa menjejaskan rakyat atau mana-mana pihak. Perkara ini akan dirumuskan dan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung September agar dapat dimasukkan ke dalam pembentangan Bajet 2019. Untuk makluman, rakyat yang dikategorikan di bawah B40 akan dibiayai sepenuhnya di dalam skim ini atau diberikan subsidi penuh oleh kerajaan.

Dalam pada itu, perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan dan perubatan di semua klinik dan hospital kerajaan adalah dikekalkan dan diteruskan seperti biasa.

Pihak KKM mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat agar tidak mempercayai spekulasi dan fitnah yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham.

sumber : https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/