Pada 24 April 2018 (Selasa) yang lalu telah berlangsung Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit di Sekolah Rendah Kebangsaan Jambu Rias. Program ini dilaksanakan oleh petugas Perpustakaan Desa Jambu Rias dengan kerjasama guru-guru dan petugas Pusat Internet 1 Malaysia Kg. Jambu Rias. Program ini bertujuan menerapkan amalan membaca dalam kehidupan harian walaupun untuk masa yang singkat. 

Aktiviti dimulakan dengan penerangan dan ucapan daripada guru, kemudian murid-murid diberi buku setiap seorang untuk dibaca. Seterusnya beberapa pelajar kehadapan untuk berkongsi secara rumusan apa isi kandungan buku yang telah mereka baca.

Pada 17 Disember 2017 (Ahad) yang lalu telah berlangsungnya Program Literasi ICT & Gotong-royong Cegah Denggi di kampung orang asli, Kg. Lebak Chamang, Bentong. Program ini dianjurkan oleh Pusat Internet 1 Malaysia gugusan Bentong yang terdiri daripada Pusat Internet 1 Malaysia Kg. Jambu Rias, Mempaga 3, Taman Muhibbah, Batu 1, Felda Lurah Bilut dan juga Simpang Pelangai. Program ini juga melibatkan beberapa agensi seperti Majlis Perbandaran Bentong, Jabatan Pertahanan Awam Bentong, Alam Flora, Maju Bentong, JAKOA dan lain-lain lagi. Program dirasmikan oleh YH. Dato’ Azhar bin Haji Arshad. 

Program ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir jam 2.00 petang. Antara aktiviti yang diadakan seperti mewarna, kelas komputer, aktiviti gotong-royong, pemberian sumbangan kepada penduduk dan beramahmesra bersama pegawai daerah. Kelas komputer bermula pada jam 10.00 pagi sehingga 12 tengahari. Petugas mengajar anak-anak orang asli berkaitan asas Microsoft Office (word) iaitu menaip, membuat jadual dan memuat naik gambar. Setiap anak-anak orang asli ini diberi netbook bagi memudahkan mereka memahami apa yang diajar. Pada mulanya mereka agak kekok menggunakan netbook namun setelah diberi tunjuk ajar daripada petugas mereka mula dapat menyesuaikan diri. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan lagi di kampung-kampung orang asli yang lain.

 

 

KOLEJ KOMUNITI BENTONG

Kolej Komuniti Bentong (KKBT) telah ditubuhkan pada Mac 2003 dan beroperasi di premis sementara di Sekolah Menengah Teknik Tengku Ampuan Afzan, Bentong Pahang.Pada Jun 2004, Kolej Komuniti Bentong telah berpindah ke kampus tetap yang terletak di Karak Setia, Karak, Pahang. Penubuhan Kolej Komuniti Bentong adalah betujuan untuk merealisasikan objektif penubuhan Kolej Komunti secara amnya dan seterusnya menyediakan perkhidmatan yang telah dikhususkan kepada masyarakat daerah Bentong.

Kolej Komuniti Bentong ditubuhkan bagi memenuhi kehendak sosial dan keperluan tenaga manusia selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja mahir. Bagi golongan setempat pula, kolej ini berperanan memberi pendedahan kepada mereka dengan kursus-kursus pendek yang ditawarkan. Lulusan Kolej Komuniti berpeluang untuk mengisi keperluan tenaga kerja industri dalam bidang-bidang kemahiran yang berkaitan atau membuka perniagaan sendiri.

Secara keseluruhannya, KKBT kini menawarkan empat program Sijil  iaitu Pengoperasian Perniagaan, Teknologi Maklumat, Teknologi Elektrik dan Teknologi Pembinaan. Selain itu kursus-kursus pendek dalam pelbagai bidang turut ditawarkan untuk seluruh warga komuniti Bentong khususnya dan warganegara Malaysia amnya.

 

sumber : http://kkbentong.jpkk.edu.my/

Pada 11 hingga 13 Julai 2017 telah berlangsung Latihan Intel bagi pelajar Giat Mara jurusan masakan dan pramusaji. Seramai 10 orang pelajar yang telah menyertai latihan tersebut. Latihan yang memakan masa 3 hari dipenuhi dengan Latihan Intel E-Basic dan Intel Easy Step. Petugas Pusat Internet 1 Malaysia Kg. Jambu Rias telah berjaya menerangkan tentang keusahawanan dan juga penerangan perkakasan komputer.

Malahan, petugas juga memberi mereka latihan dengan mengunakan Microsoft Word dan PowerPoint sebagai pengetahuan asas komputer. Selain itu juga, mereka diberi peluang membentangkan jawapan bagi soalan-soalan keusahawanan bertujuan menguji kefahaman mereka setelah mengikuti latihan keusahawanan.